Monday, December 22, 2008

'Dimana kan ku cari ganti? Serupa dengan mu?'

'Dimana kan ku cari ganti? Serupa dengan mu?


Begitulah realiti keadaan emosi kita bilamana kita kehilangan orang yang paling kita kasihi dan sayangi dikehidupan ini, bukan?


Allahyarham P.Ramlee seorang insan yang hidup mewarnakan kehidupan kita masyarakat bekas Tanah Melayu ini dan juga Singapura pada zaman 50an sehingga lah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1973.


Saya terbayangkan keadaan emosional balu Allahyarham Mohamad Nasir P.Ramlee semasa menghadiri majlis pengkebumian Arwah di Perkuburan Islam Jalan Ampang baru baru ini.


Selalunya kita ini tidak faham betapa pentingnya seseorang itu didalam kehidupan kita sehinggalah Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjemputnya kembali kesisiNya.


Bukanlah saya menyatakan balu Arwah Nasir tidak menyayanginya semasa hayat Arwah tetapi saya mengajak anda pembaca blog saya ini untuk menghayati erti kehadiran insan insan tercinta didalam kehidupan kita semua.


Kasih sayang seikhlas hati semasa pasangan dan ahli keluarga kita yang tercinta amatlah penting sekali kerana ianya bersifat sementara manakala Maut itu senantiasa mengintai kita 70 kali didalam sehari seperti apa yang saya pernah dengar dari guru dan syeikh saya!


Ini adalah kebenaran hakiki, bukan?


Bahawasanya kita ini manusia dan juga sekelian isi alam maya ini ujud didalam tempoh waktu dimuka Bumi ini dengan ihsan Allah!


Tidak kekal selamanya jasad kita di Dunia ini melainkan akan sampai titik saat dan waktu Ruh kita berpisah dari tubuh yang merupakan kerangka jasad kita didalam hidup ini.


Ramai dikalangan pasangan manusia di zaman lampau sehingga ke hari ini melupakan tugas dan tanggungjawab meraikan cinta dan kasih sayang mereka yang sudi menjadi teman hidup dan selalunya bertukar ke keadaan mengambil mudah dan ringan sahaja akan ujudnya insan insan istimewa mereka sehinggalah Ajal datang menjemput ruh mereka kembali menghadap Rabbul Alamin.


Saya anjurkan tuan tuan dan puan puan membaca kitab kitab Hadis dan karangan para ulamak muktabar kita didalam mempelajari erti kehidupan ini dan bersedia untuk menghadapi Maut yang pasti.


Cintailah mereka yang tuan puan dikurniakan Ilahi dengan penuh kasih sayang dan hargailah mereka semasa hidup lagi dan tidak cuma tinggal mencium dahi mereka yang telah meninggal dunia dengan seribu satu penyesalan.

2 comments:

arizWanmerahs said...

Salam,semoga tuan rumah ni sihat n gembira selalu...

MAHAGURU58 said...

Wa'alaikumsalam.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Begitu juga hendaknya di kurniakan Allah pada tuanhamba.

Insya Allah.

Salam Ma'al Hijrah 1431!