Monday, December 22, 2008

'Dimana kan ku cari ganti? Serupa dengan mu?'

'Dimana kan ku cari ganti? Serupa dengan mu?


Begitulah realiti keadaan emosi kita bilamana kita kehilangan orang yang paling kita kasihi dan sayangi dikehidupan ini, bukan?


Allahyarham P.Ramlee seorang insan yang hidup mewarnakan kehidupan kita masyarakat bekas Tanah Melayu ini dan juga Singapura pada zaman 50an sehingga lah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1973.


Saya terbayangkan keadaan emosional balu Allahyarham Mohamad Nasir P.Ramlee semasa menghadiri majlis pengkebumian Arwah di Perkuburan Islam Jalan Ampang baru baru ini.


Selalunya kita ini tidak faham betapa pentingnya seseorang itu didalam kehidupan kita sehinggalah Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjemputnya kembali kesisiNya.


Bukanlah saya menyatakan balu Arwah Nasir tidak menyayanginya semasa hayat Arwah tetapi saya mengajak anda pembaca blog saya ini untuk menghayati erti kehadiran insan insan tercinta didalam kehidupan kita semua.


Kasih sayang seikhlas hati semasa pasangan dan ahli keluarga kita yang tercinta amatlah penting sekali kerana ianya bersifat sementara manakala Maut itu senantiasa mengintai kita 70 kali didalam sehari seperti apa yang saya pernah dengar dari guru dan syeikh saya!


Ini adalah kebenaran hakiki, bukan?


Bahawasanya kita ini manusia dan juga sekelian isi alam maya ini ujud didalam tempoh waktu dimuka Bumi ini dengan ihsan Allah!


Tidak kekal selamanya jasad kita di Dunia ini melainkan akan sampai titik saat dan waktu Ruh kita berpisah dari tubuh yang merupakan kerangka jasad kita didalam hidup ini.


Ramai dikalangan pasangan manusia di zaman lampau sehingga ke hari ini melupakan tugas dan tanggungjawab meraikan cinta dan kasih sayang mereka yang sudi menjadi teman hidup dan selalunya bertukar ke keadaan mengambil mudah dan ringan sahaja akan ujudnya insan insan istimewa mereka sehinggalah Ajal datang menjemput ruh mereka kembali menghadap Rabbul Alamin.


Saya anjurkan tuan tuan dan puan puan membaca kitab kitab Hadis dan karangan para ulamak muktabar kita didalam mempelajari erti kehidupan ini dan bersedia untuk menghadapi Maut yang pasti.


Cintailah mereka yang tuan puan dikurniakan Ilahi dengan penuh kasih sayang dan hargailah mereka semasa hidup lagi dan tidak cuma tinggal mencium dahi mereka yang telah meninggal dunia dengan seribu satu penyesalan.

Tuesday, May 16, 2006

Kung Fu Tze, Ahli Falsafah Terulung China

Setelah 48 tahun saya hidup dimuka bumi ini baru sekarang tergerak hati mempelajari tentang Ilmu Falsafah dan Kebudayaan Negara China.

Kung Fu Tze, ahli fikir terulung negara China ternyata meninggalkan buah fikiran yang teramat jelas dan amat baik dijadikan pegangan hidup kebanyakan manusia dimuka bumi ini seiring dengan mengikuti contoh teladan dan sunnah Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam.

Saya teringat hadis Nabi SAW : ' Utlub `ilma walau fis Sin' yang bermaksud ' Tuntutlah Ilmu walau sampai ke negara China'.

Sudah tentu Ilmu Falsafah Kung Fu Tze adalah salah satu cabang ilmu yang termahsyur dinegara dimana terdapat peradaban manusia yang berusia beribu ribu tahun.

Semalam saya berpeluang mentelaah kata kata pujangga yang terbilang ini dan mendapati kebenaran pemikiran Kung Fu Tze amat sesuai di ajarkan kepada anak anak muda negara ini

Di antara kata kata Kung Fu Tze yang patut diberi perhatian adalah seperti berikut:

'Bila lima belas tahun usiaku, aku bercita cita menuntut ilmu,
Bila tiga puluh tahun usiaku, aku memantapkan pendirian,
Bila empat puluh tahun usiaku, aku hilang angan angan,
Bila lima puluh tahun usiaku, aku tahu matlamat hidupku,
Bila enam puluh tahun usiaku, aku tahu di mana kebenaran dalam segala yang kedengaran,
Bila tujuh puluh tahun usiaku, aku dapat mengikut rasa hatiku tanpa melakukan kejahatan.

Dapat menimba ilmu dan mengamalkan apa yang dipelajari,berulang kali, bukankah nikmat namanya?
Didatangi teman teman dari jauh*, bukan kah bahagia namanya?
Tetap tenang meskipun tidak dihargai orang lain, bukan kah budiman namanya?
*untuk sama sama menuntut ilmu

Anak muda harus ta'at di rumah, dan kasih sesama saudara di luar rumah. Anak muda harus berhemat dan amanah. Anak muda harus kasihkan semua manusia dan rapat dengan mereka yang ihsan. Setelah itu, sisa tenaga mereka harus ditumpukan pada mempelajari kesusasteraan.

Tanpa kesetiaan, orang budiman tidak dihormati, ilmunya tidak sempurna. Dia mengajar orang supaya setia dan amanah, dia tidak punya teman yang tidak setara. Dia tidak segan membetulkan kesilapannya sendiri.

Jangan khuatir jika orang lain tidak menghargaimu. Khuatiri lah yang kamu tidak menghrgai orang lain.

Belajar tanpa berfikir kerja adalah kerja sia sia. Berfikir tanpa belajar ketandusan namanya.

Makanan yang sederhana, air untuk di minum, berbantalkan siku berlipat, itulah kebahagiaan. Kekayaan dan pangkat tanpa ketulusan bagiku bagai awan yang mengambang lalu'.

Demikian lah diantara fatwa pujangga yang bergelar Kung Fu Tze. Ilmu yang baik harus di ikuti dan di amalkan kerana nilai nilai nya boleh di terima pakai oleh manusia sejagat.

Semoga ada manfa'atnya bagi kita semua. Bagi yang ingin belajar lebih lanjut tentang kata kata hikmah Kung Fu Tze boleh lah melawat http://www.confucius.org/main01.htm

Ikut lah saranan Nabi SAW untuk menuntut ilmu walau sampai ke negara China!

Budaya China tidak kurang hebatnya dari kebudayaan lain di dunia ini.

Bagi yang mahu memperkasakan diri dengan Bahasa Mandarin yang asli , sila lah layari http://www.globalhanyu.com

Hendak seribu daya ; ilmu pengetahuan wajib di cari. Baru lah hidup kita kan bererti.

Wan anh. Selamat malam.

Tuesday, March 28, 2006

Awal Bicara

Bermula dengan ismi Allahu Ta'ala, ruang bicara ini saya mulai dengan mengucapkan syukur kepada Nya, Rabbul Alamin.

Segala puji dan tasbih mengiring awal bicara di laman maya ini dengan mengajak saudara saudari ke arah merenung tentang keadaan umat Islam di Akhirul Zaman ini.

Sayugia , bahasa yang akan dipergunakan di ruang ini adalah Bahasa Melayu asli dan cenderung ke menobatkan semula segala pepatah dan puisi lama.

Insyaallah, dengan adanya kesempatan sebegini untuk mengamalkan apa apa kelaziman yang kian dilupakan, maka diri ini akan menggunapakai apa saja pepatah warisan dari zaman lampau yang sudah mulai di lupai orang.

'Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu, Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah! Bacalah!..dan Tuhanmu lah Yang Maha Pemurah. Yang telah mengajar (manusia) dengan perantara'an kalam. Dia telah mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya!'

Firman Allahu Ta'ala didalam Surah Al-'Alaq ayat 1 hingga 5.

1400 lebih tahun dahulu ayat ayat suci Al 'Qur'an nul Karim diatas di turunkan kepada Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam sebagai amanah untuk di sampaikan oleh baginda kepada manusia seantero dunia!

Intipati ayat ayat tersebut menerangkan secara jelas tentang hakikat kejadian manusia yang baru kini sejak sekurun yang lalu para saintis dan ahli bijak pandai menemui cara cara melihat sesuatu benda yang halus melalui kanta mikroskop!

Manusia pada zaman Nabi SAW belum berupaya mengkaji tentang sel sel dan zat zat kejadian manusia.

Belum ada lagi segala peralatan zaman sekarang yang serba canggih untuk meneropong jauh kedalam kejadian manusia seperti apa yang kita semua sedia maklum dizaman ini.

Pembenci pembenci Islam sering menuduh dan memfitnah Nabi SAW telah meniru dari pendita pendita Yahudi dan Nasara dan mengarang kitab Al Qur'an Al Karim!

Betapa bingung dan biadapnya mereka ini yang sejak zaman berzaman masih buta dan tuli terhadap keluhuran Rahmatulil Alamin.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang 'ummi'!

Baginda tidak pernah belajar menulis dan membaca apatah lagi di tuduh mengarang sebuah kitab yang sehingga ke sa'at ini terbukti sebagai suci dan tidak ada sebarang keragun tentang kandungan kitab al Qur'an ini.

Susah sangat bagi mereka yang telah kelabu jiwa dan minda mereka mengakui dan menerima bahawa Al-Qur'an itu adalah mukjizat dari Allah SWT bagi dijadikan pedoman seluruh manusia.

Bagi kita yang bertuah hidup sebagai seorang Muslim, marilah kita sama sama mentela'ah segala isi Al-Qur'an al Karim dan belajar tentang segala ilmu yang dikandunginya.

Insyaallah, kita boleh belajar tentangnya sedikit demi sedikit mengikut keupaya'an diri kita!

Semoga di berkati Allah SWT! Amin.